DALAM NEGERI
Guru terlibat kes Kuala Dipang diberi kaunseling
IPOH 11 Nov. - Semua guru yang terlibat dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar dekat sini 26 Oktober lalu akan diberikan kaunseling khas bagi menaikkan semula moral dan keyakinan mereka yang kini trauma selepas kejadian itu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Fuad Zarkashi berkata, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak telah diminta mengadakan sesi kaunseling tersebut dalam masa terdekat.
''Saya setuju supaya guru-guru ini diberikan kaunseling bagi memulihkan semangat dan menyedarkan bahawa mereka juga sebenarnya bertanggungjawab menghadapi cabaran sebegitu rumit semasa kejadian itu.
''Saya juga cadangkan kepada Pengarah Pelajaran Negeri supaya adakan satu majlis khas untuk beri penghormatan kepada guru yang terlibat dalam operasi menyelamat,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penyelidikan Pendidikan Guru Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa guru pengiring Perkhemahan 1Malaysia di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan di Kampar kini tertekan selepas dipersalahkan atas kejadian tersebut yang mengorbankan tiga murid.
NUTP turut mendakwa guru-guru terbabit menerima pelbagai ugutan termasuk bunuh daripada pihak tertentu yang marah dengan tragedi tersebut.
Dalam pada itu, Mohd. Fuad mempertahankan guru-guru terbabit sebagai tidak bersalah dan mereka telah melakukan apa yang terdaya untuk menyelamatkan murid-murid daripada lemas.
Malah, katanya, guru-guru berkenaan juga telah bertungkus lumus terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat dengan turun ke sungai untuk mencari murid yang hilang.
''Guru-guru tidak boleh dipersalahkan kerana kejadian itu bukan berpunca daripada kelalaian mereka tetapi mereka menjadi mangsa trauma masyarakat,'' katanya.
Beliau turut meminta guru-guru yang menerima pelbagai ugutan dan kecaman daripada masyarakat supaya membuat laporan polis.
''Saya percaya ugutan ini bukan dibuat oleh ibu bapa mangsa lemas kerana saya sendiri telah berjumpa dengan ketiga-tiga ibu bapa murid berkenaan.
''Dalam perjumpaan itu, mereka memuji tindakan pantas guru-guru menyelamatkan murid yang jatuh serta memberikan semangat kepada murid-murid lain,'' katanya.
Wednesday, November 11, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)